Wednesday, December 8, 2010

Dokumentari Dakwa "Detox Foot Pad" Hanya KELENTONG!

[Video-Wajib Tonton] Dokumentari Dakwa "Detox Foot Pad" Hanya KELENTONG!

Saya bukan berniat untuk merosakkan perniagaan orang, namun setiap produk kesihatan sepatutnya dijual dengan disertakan bukti klinikal. Malangnya, penjual produk ini hanya menyertakan maklumat isi kandungan "pad" itu dan menyatakan fungsi setiap bahan yang terkandung di dalam "pad" itu tanpa menyertakan bukti klinikal atau pengesahan daripada pakar perubatan. Hanya dakwaan bahawa "pad" ini mampu mengubati pelbagai penyakit disertakan untuk menyokong produk itu.

Detox foot pad kini laris dijual sama ada di Facebook, blog, laman sesawang, pasar tani, pasar malam, dan terkini di kedai-kedai runcit. Ada sebuah syarikat bumiputera menjual detox foot menggunakan jenamanya dengan harga setinggi RM7 ringgit sepasang, biarpun detox foot tanpa jenama dijual di pasaran "online" sekitar RM1 sepasang.

Dokumentari yang disiarkan di ABC ini mendedahkan "penipuan" di balik produk detox "pad" jenama terkenal. Dalam rancangan itu, sekumpulan sukarelawan telah diminta memakai produk itu. Antara hasil kajian yang diperoleh, responden mendapati "pad" yang dipakai oleh mereka tetap berwarna hitam dari hari ke hari. Walhal kesan itu sepatutnya berkurangan kerana toksik sepatutnya berkurang dari badan mereka dari hari ke hari.

Apabila dibawa ke makmal, pakar mendapati tiada apa-apa yang didapati pada "pad" yang telah dipakai oleh responden. Tiada toksik, merkuri atau segala macam logam, atau bendasing lain yang boleh menjejaskan kesihatan seseorang. Detox "pad" itu juga berubah menjadi hitam selepas terkena air biasa. Sebelum ini, seorang jurublog pernah melakukan ekperimen dengan meletakkan "pad" tersebut di atas cawan yang berisi air suam. Hasilnya, "pad" itu menjadi hitam. Saya ada menyiarkan
eksperimen itu di blog ini sebelum ini.

Pendedahan seperti ini telah lama dibuat di luar negara, malah syarikat yang menjual produk ini pernah disaman oleh Federal Trade Commission (AS) dan pengguna yang merasakan diri mereka tertipu.
Jadi bagi sesiapa yang mahu berniaga produk ini, lupakanlah sahaja niat anda jika pengeluar produk ini gagal menyertakan bukti klinikal untuk menyokong produk tersebut. Untuk menjual dan melariskan produk kesihatan bukanlah hanya bergantung pada testimoni semata-mata kerana testimoni boleh dikarang mengikut cita rasa penulisnya.



P/s: Jika produk kesihatan itu mempunyai bukti dan sokongan fakta klinikal, percayalah sudah tentu pengeluar produk itu akan mencanangkan fakta itu ke seluruh dunia dan mereka tidak hanya bergantung pada dakwaan dan testimoni semata-mata.

Hati-hati menjual produk kelentong, silap-silap anda akan disaman pengguna.

di petik dari blog http://duniacacamarba.blogspot.com

No comments:

Post a Comment